Saturday 17 September 2011

UNIT 5 HUBUNGAN PEKONGSI DENGAN PEKONGSI YANG LAIN

UNIT 5


     OBJEKTIF

Objektif am ;
Menerangkan kepada pelajar berkenaan hubungan pekongsi dengan pekongsi lain dan pihak ketiga serta pembubaran perkongsian.

Objektif khusus ;
  1. Menerangkan perhubungan sesama pekongsi
  1. Menghuraikan perhubunganan pekongsi dengan pihak ketiga

c.    Menerangkan tentang pembubaran perkongsian

    1. HUBUNGAN PEKONGSI DENGAN PEKONGSI YANG LAIN

Seksyen 21 AP 1961 memperuntukkan hak dan kewajipan sesama pekongsi adalah  ditentukan sama ada melalui perjanjian perkongsian atau diperuntukkan oleh AP 1961. Ia boleh diubah dengan persetujuan semua pekongsi dan boleh dibuat secara nyata atau tersirat.

Sebelum perkara ini dibincangkan dengan lebih lanjut, mari kita lihat terlebih dahulu jenis-jenis pekongsi yang mungkin wujud di dalam sesebuah perkongsian.


Pekongsi Am
Ia adalah merupakan pekongsi dalam erti kata yang sebenarnya.
Pekongsi Semu
Ia bukanlah merupakan seorang pekkongsi tetapi bertanggungjawab terhadap hutang perkongsian kerana membuatkankan pihak ketiga percaya bahawa ia adalah pekongsi
Pekongsi Aktif
Ia adalah merupakan pekongsi yang aktif dalam pengurusan perniagaan dan  telah diketahui umum bahawa ia adalah seorang pekongsi
Pekongsi Tidur
Ia adalah merupakan pekongsi yang tidak aktif di dalam pengurusan perniagaan tetai bertanggungjawab sepenuhnyasebagai seorang pekongsi
  



KEJUJURAN SECARA SPESIFIK

      Di dalam perkongsian perhubungan di antara pekongsi adalah berpandukan prinsip uberrimae fidei iaitu bersifat amanah dan percaya antara satu sama lain. Oleh yang demikian setiap pekongsi perlu bersifat jujur terhadap pekongsi-pekongsi lain dan juga terhadap perkongsian. Sifat jujur ini dijelaskan di dalam seksyen 30 hingga seksyen 32 AP 1961.

Seksyen 30 AP 1961 memperuntukkan bahawa pekongsi terikat untuk memberi akaun dan maklumat betul mengenai perkongsian kepada mana-mana pekongsi atau wakilnya.

Contoh kes LAW LWN LAW

Seorang pekongsi membeli saham-saham pekongsi lain pada harga 20,000 pound yang mengandungi gadaian dan sekuriti lain ke atas saham-saham tersebut, tetapi tidak mendedahkan maklumat ini. Mahkamah memutuskan penjualan saham tersebut adalah batal kerana pekongsi yang mempunyai maklumat sepatutnya mendedahkan maklumat tersebut kepada pekongsi yang membeli saham.

Seksyen 31 AP 1961 memperuntukkan setiap pekongsi mestilah menyerahkan kepada firma sebarang faedah yang diperolehi tanpa persetujuan dari sesuatu transaksi berkenaan dengan perkongsian atau dari penggunaan harta atau nama atau hubungan urusan perkongsian.

Contoh kes PATHIRANA LWN ARIYA PATHIRANA

Plaintif dan defendan adalah rakan kongsi dan mereka menjalankan perniagaan menjual petrol Caltex. Mereka berselisih faham dan defendan memberi notis menamatkan perkongsian. Menurut perjanjian perkongsian notis 3 bulan mesti diberikan. Sebelum tempoh notis tamat defendan telah membuat perjanjian agensi baru dengan syarikat Caltex. Mahkamah memutuskan bahawa defendan telah menggunakan goodwill atau nama baik perniagaan perkongsian untuk mendapatkan kontrak agensi baru dengan syarikat Caltex. Oleh itu mahkamah memutuskan defendan mesti memulangkan segala keuntungan yang diperolehi kepada perkongsian.
Seksyen 32 AP 1961 memperuntukkan pekongsi mesti menyerahkan dan membayar kepada firma segala keuntungan yang diperolehi kerana menjalankan perniagaan sejenis dan bersaing tanpa persetujuan pekongsi-pekongsi lain.

Contoh 5.1

A , B dan C  merupakan rakan kongsi yang menjalankan perniagaan Kedai Fotostat. C yang bertindak sebagai juruteknik bagi perkongsian berkenaan telah menggunakan bahan-bahan milik perkongsian bagi mencari pendapatan tambahan pada hujung minggu Di sini .A dan B berhak menuntut segala keuntungan yang diperolehi oleh C   




PERATURAN MENGENAI HUBUNGAN SESAMA PEKONGSI


      Sekiranya tidak dinyatakan di dalam perjanjian perkongsian, seksyen 26 AP 1961 adalah terpakai berkaitan dengan peraturan berkenaan perhubungan sesama pekongsi.

i.    Seksyen 26 (a) AP 1961 memperuntukkan semua pekongsi berhak ke atas bahagian yang sama rata kepada modal dan keuntungan perniagaan itu dan mestilah menyumbangkan sama rata terhadap kerugian-kerugian samada pada modal atau sebaliknya yang ditanggung oleh firma.
    Kes RE ALBION LIFE ASSURANCE SOCIETY (1880) 16 CH. D 83 yang mana diputuskan oleh  Jessel MR bahawa prinsip undang-undang yang umum ialah di dalam perkongsian perniagaan yang biasa, bila terdapat perkongsian keuntungan dalam bahagian yang tertentu, maka bolehlah dirumuskan secara adil bahawa kerugian juga diagihkan dalam bahagian yang sama.

ii. Seksyen 26 (b) memperuntukkan firma mestilah membayar kepada setiap pekongsi berhubung dengan perbelanjaan yang dilakukan olehnya :
  1. dalam menjalankan perniagaan firma secara biasa dan wajar
  2. mengenai apa saja yang dilakukan bagi pemeliharaan urusan atau harta firma
Kes KOK HONG LEONG & ORS LWN SEOW KAH CHENG & ORS (1950) 16 MLJ 87
Mahkamah memutuskan oleh kerana tindakan responden yang membawa tuntutan terhadap firma telah memelihara aset firma, maka mereka berhak dibayar oleh firma bagi segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan.

iii.  Seksyen 26 ( c ) AP 1961 memperuntukkan pekongsi membuat bayaran benar dan pendahuluan wang yang melebihi sumbangan modal berhak menerima faedah 8% setahun dari tarikh pendahuluan. Pendahuluan tersebut dianggap sebagai pinjaman kepada firma.

iv. Seksyen 26 (d) AP 1961 memperuntukkan setiap pekongsi tidak berhak kepada faedah atas modal yang disumbangkan sebelum keuntungan ditentukan.
    Contoh kes RISHTON LWN GRISSELL (1868)

v.  Seksyen 26 (e) AP 1961 memperuntukkan setiap pekongsi berhak mengambil bahagian dalam pengurusan perkongsian.
Contoh kes : KELLY LWN TUCKER (1907)

vi. Seksyen 26 (f) AP 1961 memperuntukkan tiada pekongsi berhak kepada upah atau gaji dibayar kerana bertindak dalam urusan perkongsian.

vii.Seksyen 26 (g) AP 1961 memperuntukkan orang lain tidak boleh dimasukkan sebagai pekongsi tanpa persetujuan oleh ahli-ahli pekongsi yang lain.
    Contoh kes : WONG PENG YUEN LWN SENANAYAKE (1962)

viii. Seksyen 26 (h) AP1961 memperuntukkan suara majoriti perlu untuk menguruskan perjalanan perniagaan perkongsian.
Contoh kes CONST LWN HARRIS  
Mahkamah memutuskan bahawa peraturan majoriti adalah tertakluk kepada 2 syarat iaitu pihak minoriti hendaklah dibawa berunding, diberi peluang untuk berbincang tidak kira jika pendapat mereka tidak diterima pada akhirnya manakala kuasa majoriti perlu digunakan bagi faedah firma secara keseluruhannya dan bukan untuk faedah pihak majoriti sahaja.

ix. Seksyen 26 ( h ) AP 1961 juga memperuntukkan jika ia melibatkan pertukaran jenis perniagaan firma, kaedah persetujuan majoriti tidak boleh digunakan sebaliknya ia memerlukan keputusan sebulat suara semua pekongsi.
Kes Tham KOK CHEONG LWN LOW PUI HENG (1966) 1 MLJ 52
Terdapat 4 orang pekongsi di mana 3 daripada mereka telah menjual perniagaan mereka kepada sebuah syarikat berhad yang telah ditubuhkan oleh mereka. Apabila pekongsi keempat mendapat tahu, dia mengambil tindakan guaman terhadap ketiga-tiga pekongsi. Mahkamah memutuskan bahawa pengambil alihan oleh syarikat berhad adalah tidak sah dan syarikat hendaklah mengembalikan semula syer kerana penjualan adalah tidak sah.

x.  Seksyen 26 (i) AP 1961 memperuntukkan buku-buku perniagaan hendaklah disimpan di tempat urusan perkongsian dan setiap pekongsi boleh memeriksa dan menyalin dari buku itu.

AKTIVITI 5a







  1. Sikap jujur adalah perlu dalam hubungan antara rakan kongsi. Nyatakan kejujuran secara spesifik mengikut Akta Perkongsian 1961.
  1. Ali rakan kongsi kepada Baba, telah mengalami kecederaan akibat kemalangan. Kemalangan berlaku semasa beliau menghantar pekerja yang sakit ke hospital.  
Adakah Ali boleh membuat tuntutan bayaran dari perniagaan perkongsian ?

                                                            
MAKLUM BALAS 5a





  1. ~Seksyen 31 (1)
~ Seksyen 31 (2)
~ Seksyen 32
  1. Ali boleh membuat tuntutan kerana tuntutan tersebut berdasarkan kepada urusan perkongsian- S.26(b) AP 1961.





5.2 HUBUNGAN PEKONGSI DENGAN PIHAK KETIGA
     
Pihak ketiga ialah orang-orang yang berurusan dengan perkongsian melalui pekongsi-pekongsi. Pekongsi-pekongsi adalah merupakan wakil atau ejen kepada perniagaan perkongsian tersebut. Sebagai wakil firma perkongsian, pekongsi perlu menjalankan urusan perkongsian berdasarkan kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya.


ZAHIR

KUASA PEKONGSI


NYATA





KUASA ZAHIR


Kuasa zahir adalah kuasa seseorang ejen yang pada pandangan orang lain ejen itu mempunyai kuasa tersebut. Ianya telah diperuntukkan dalam Seksyen 7 yang membawa maksud setiap pelanggan atau pihak ketiga yang berurusan dengan firma mempunyai hak untuk menganggap setiap pekongsi sebagai mempunyai kuasa untuk bertindak bagi pihak firma.

Syarat-syarat yang dinyatakan di dalam seksyen 7 AP 1961 adalah :
  1. Tindakan atau urusan yang dilakukan oleh pekongsi mestilah termasuk dalam jenis perniagaan yang dijalankan oleh firma itu.

Contoh kes  MERCANTILE CREDIT CO. LTD. LWN GARROD (1962)
Parkin dan Garrod menjalankan perniagaan perkongsian iaitu menyewa garaj dan membaiki kereta. Menurut perjanjian perkongsian, urusan menjual beli kereta adalah dilarang. Parkin telah menjual sebuah kereta bukan miliknya kepada Mercantile Credit tanpa pengetahuan Garrod dan wang hasil jualan kereta dimasukkan ke adalam akaun perkongsian. Mercantile menuntut kereta dari Parkin. Mahkamah memutuskan bahawa Parkin mempunyai kuasa zahir untuk menjual kereta kerana penjualan kereta termasuk dalam perniagaan menyewakan garaj dan membaiki kereta. Oleh itu Mercantile berjaya di dalam tuntutannya.
  1. Urusan mestilah dilakukan di dalam cara yang biasa atau lazim
Setiap firma akan hanya bertanggungan terhadap urusan yang dibuat sekiranya sesuatu urusan itu dilakukan dalam cara yang biasa atau lazim. Sekiranya tidak firma tidak akan bertanggungan.
Contoh kes CHAN KING YUE LWN LEE & WONG (1962)
  1. Pihak ketiga yang berurusan itu mestilah mengetahui atau percaya bahawa orang yang dengan siapa dia berurusan itu adalah pekongsi.

Contoh kes SITHAMBARAN CHETTY LWN HONG HING & ORS (1928)
Dua orang pekongsi membuka perniagaan menjual arak di mana perniagaan diuruskan oleh 2 orang pengurus tersebut. Salah seorang pengurus meminjam wang dari plaintif . Mahkamah memutuskan bahawa pekongsi dan firma adalah bertanggungan kerana mereka telah menyebabkan orang ramai percaya bahawa pengurus perniagaan adalah pekongsi dan mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
  1. Pihak ketiga tidak mengetahui pekongsi tidak mempunyai kuasa
Pihak yang berurusan mestilah tidak mengetahui bahawa orang yang dia berurusan itu sebenarnya tidak mempunyai kuasa atau kebenaran dari pekongsi yang lain untuk menjalankan urusan bagi pihak firma itu.


KUASA NYATA

Seksyen 9 AP 1961 menyatakan di mana seseorang pekongsi menggunakan kepercayaan firma bagi maksud yang tiada kaitan dengan perjalanan biasa perniagaan firma, firma tidak terikat kecuali beliau diberi secara khusus kuasa oleh pekongsi lain.

Seksyen 8 AP 1961 memperuntukkan firma dan semua pekongsi adalah bertanggungan bagi sesuatu tindakan atau suratcara yang disempurnakan atas nama firma atau dalam apa cara jua yang menunjukkan niat untuk mengikat oleh seseorang yang diberi kuasa samada seorang pekongsi atau bukan pekongsi.


AKTIVITI 5b





  1. Senaraikan syarat-syarat seperti yang digariskan di dalam Seksyen 7 AP 1961 yang memberikan kuasa zahir kepada setiap pekongsi sebagai wakil bagi firma dan pekongsi-pekongsi yang lain bagi maksud perniagaan perkongsian?

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan kuasa nyata?








MAKLUM BALAS 5b




Jawapan 1
a. Tindakan atau urusan yang dilakukan oleh pekongsi mestilah termasuk dalam jenis
   perniagaan yang dilakukan oleh firma itu.

b. Urusan mestilah di dalam cara yang biasa atau lazim.

c. Pihak lain yang berurusan itu mestilah mengetahui atau percaya bahawa orang
   yang dengan siapa dia berurusan adalah pekongsi.

d. Pihak yang berurusan mestilah tidak mengetahui bahawa orang yang dia berurusan
   itu sebenarnya tidak mempunyai kuasa atau kebenaran dari pekongsi yang lain  
   untuk menjalankan urusan bagi pihak firma itu.


Jawapan 2
Kuasa nyata ialah kuasa yang diberi secara khusus kepada pekongsi oleh pekongsi-pekongsi yang lain bagi maksud menjalankan urusan yang tiada kaitan dengan perjalanan biasa perniagaan firma.





5.3 PEMBUBARAN PERKONGSIAN

Pembubaran perkongsian boleh berlaku melalui tiga cara iaitu pembubaran secara automatik atau tersendiri, pembubaran melalui notis dan pembubaran oleh mahkamah.

Pembubaran Secara Automatik Atau Tersendiri
    Pembubaran secara automatik atau tersendiri berlaku di dalam keadaan-keadaan
seperti yang ditunjukkan oleh Rajah 5.1 berikut :

apabila sesuatu tempoh perkongsian tamat
Seksyen 34 (1)(a)



Seksyen 34 (1)(b).
apabila projek atau usaha perkongsian berakhir
.



Seksyen 35 (1)
apabila berlaku kematian atau kebangkrapan mana-mana pekongsi.




            Rajah 5.1 : Pembubaran secara automatik atau tersendiri

Pembubaran melalui notis

Menurut Seksyen 34 (1)( c ), jika perkongsian tidak menetapkan tempoh, pembubaran boleh berlaku dengan memberi notis.

Seksyen 34 (2) pula memperuntukkan bahawa tarikh pembubaran adalah tarikh dalam notis dan jika notis tiada tarikh, tarikh pembubaran adalah berdasarkan tarikh penyampaian notis.
Contoh kes SUBRAMANIAM CHETTIAR LWN KADER MASTAM (1934)
Mahkamah memutuskan bahawa notis bersara mesti disampaikan kepada pekongsi-pekongsi lain. Tindakan pekongsi meninggalkan perkongsian tanpa bergiat lagi dalam perniagaan perkongsian adalah tidak cukup untuk dijadikan notis untuk bersara.


PEMBUBARAN OLEH MAHKAMAH

Seksyen 37 memperuntukkan pembubaran perkongsian melalui mahkamah. Seksyen ini menggariskan enam sebab yang membolehkan mahkamah membubarkan perkongsian di atas permintaan seorang pekongsi .
  1. pekongsi didapati gila atau  tidak sempurna akal
  2. pekongsi tidak upaya secara kekal untuk melaksanakan bahagiannya bagi kontrak perkongsian.
  3. Pekongsi telah bersalah atas kelakuan atau pada pandangan mahkamah boleh memberi kesan buruk yang akan menjejaskan perjalanan urusan perniagaan.
  4. Pekongsi berturut-turut memungkiri perjanjian perkongsian dengan sengaja dan boleh menyebabkan  urusan perkongsian tidak dapat dijalankan.
  5. Apabila perniagaan perkongsian hanya dijalankan dengan kerugian.
  6. Apabila mahkamah membuat pertimbangan bahawa sesuatu perkongsian itu     
patut dibubarkan. Pembubaran ini mempunyai skop yang luas dan ianya bergantung kepada budi bicara mahkamah samada sesuatu keadaan itu adalah adil dan saksama bagi perkongsian untuk dibubarkan.
     Contoh kes RE YENIDI & TOBACCO LTD (1916)

Sebagai kesimpulannya apabila sesuatu perniagaan dibubarkan, maka semua urusan perniagaan akan terhenti kecuali untuk perkara yang berkaitan dengan penentuan hak dan tanggungan rakan kongsi.



AKTIVITI 5c




Tentukan samada firma berkenaan dibubarkan dalam situasi berikut;
  1. Firma lebih banyak mengalami kerugian dan hanya sesekali mendapat untung. .
  1. 2 orang rakan kongsi telah berselisih pendapat dan telah tidak bertegur sapa.
  1. Ali, Baba dan Chong berkongsi membuka kedai gunting. Mereka juga menyediakan perkhidmatan mencuci dan mendandan rambut. Suatu hari,
Baba dan Chong kemalangan menyebabkan tangan kanan Baba patah dan  
mata sebelah kiri Chong buta.


MAKLUM BALAS 5c





  1. Perkongsian tidak boleh dibubarkan. Mengikut peruntukan di bawah Seksyen
    37(e) AP1961 kerana perniagaan bukanlah sentiasa rugi.
  1. Merujuk Seksyen 37(f) AP 1961 pekongsi boleh memohon kepada mahkamah untuk bubarkan perkongsian.
  1. Perkongsian tidak boleh dibubarkan kerana tangan yang patah akan sembuh dan  mata sebelah kanan masih boleh digunakan.

      

                                               PENILAIAN KENDIRI


Satu kebakaran telah berlaku di kilang yang dimiliki secara perkongsian oleh Ali dan Baba menyebabkan beberapa jentera telah rosak. Seorang pekongsi diluar bidang kuasanya telah membaiki jentera tersebut menggunakan perbelanjaan sendiri kerana pegawai terlibat sedang bercuti. Bolehkah beliau menuntut perbelanjaan tersebut daripada perkongsian.   

                                                     

MAKLUM BALAS
PENILAIAN KENDIRI




Merujuk Seksyen 26 (b) AP 1961, bermaksud pekongsi yang menanggung perbelanjaan bagi tujuan memelihara perniagaan perkongsian, berhak dibayar ganti oleh firma segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan.  

No comments:

Post a Comment