Saturday 24 September 2011

UNIT 7 PEMBENTUKAN STRATEGI PEMASARAN GLOBAL


UNIT 7

PEMBENTUKAN STRATEGI PEMASARAN GLOBAL




OBJEKTIF AM

Mengetahui dan memahami pembentukan produk pengguna bagi pasaran global dan perkembangan produk industri serta perkhidmatan perniagaan

OBJEKTIF KHUSUS
Di akhir unit ini anda sepatutnya dapat :


 Membincangkan pembentukan produk pengguna bagi pasaran global

   Membincangkan perkembangan produk industri dan perkhidmatan perniagaan



INPUT


                                  
  1.      PENGENALAN

Perancangan keluaran untuk membangunkan keluaran bagi memuaskan keinginan dan keperluan pelanggan yang sentiasa berubah-ubah adalah satu konsep yang patut menjadi asas kepada semua perancangan dan strategi pemasaran. Salah satu halangan yang paling sukar yang mesti diatasi oleh oleh pembuat keputusan bagi pembangunan keluaran ialah kriteria rujukan sendiri (SRC) iaitu mengandaikan keluaran yang berjaya dalam negeri akan berjaya dalam sebarang pasaran lain. Oleh itu cara yang paling baik untuk mengelakkan daripada berlakunya keadaan ini ialah untuk menerima hakikat bahawa terdapat perbezaan dan alternatif yang wajar dipertimbangkan dan kemudian menetapkan proses pembuatan keputusan yang mengandungi penilaian terhadap semua persoalan dan masalah yang berkaitan.


7.1      JENAMA GLOBAL

Pengertian jenama global adalah bermaksud penggunaan nama, terma, tanda, simbol, rekabentuk atau mana-mana gabungan tersebut bertujuan untuk mengenalpasti keluaran dan perkhidmatan pemasaran dan membezakannya dengan pesaing mereka.

Kejayaan sesuatu jenama adalah kekuatan utama bagi sesebuah syarikat. Sesuatu jenama merangkumi dan berkaitan dengan pengiklanan, nama baik (good will), penilaian kualiti, pengalaman produk dan lain-lain ciri yang menghubungkaitkan pasaran dengan produk tersebut. Jenama-jenama seperti Kodak, Sony, Coca-Cola, Mc Donalds, Toyota dan Marlboro memang tidak dapat ditandingi. Coca-Cola sebagai contohnya, merupakan jenama yang paling bernilai di dunia, meletakkan nilai jenama mereka pada tahap 35 billion dolar.

Syarikat-syarikat yang mempunyai nilai kekuatan jenama berusaha untuk menggunakannya secara global. Walaupun produk-produk ini perlu disesuaikan dengan syarat-syarat pasaran tempatan, jenama global boleh digunakan dengan jayanya. Campbell memperkenalkan pelbagai pilihan sup untuk memenuhi rasa tempatan tetapi masih mengekalkan jenama Campbell untuk memasarkannya seperti juga yang dilakukan oleh Electrolux dan Whirlpool masih menggunakan jenama global untuk produk mereka.

Pada umumnya, jenama global dapat menjimatkan kos serta memberi imej yang seragam bagi meningkatkan keberkesanan serta mengurangkan kos sewaktu memperkenalkan produk-produk lain yang berkaitan dengan nama jenama tersebut.

Syarikat-syarikat seperti Kodak, Coca-Cola, Caterpillar dan Levi’s menggunakan jenama yang sama di seluruh dunia, tetapi bagi Nestle, Mars, Procter & Gamble dan Gillette mempunyai jenama tertentu mengikut kesesuaian negara tempatan.

Syarikat-syarikat yang berjaya memasarkan produk mereka menggunakan jenama tempatan mestilah mampu untuk mengimbangkan kekuatan jenama global daripada risiko kehilangan pengaruh dan kekuatannya. Pihak pengurusan syarikat seharusnya dapat menentukan penjimatan kos di dalam memperkenalkan jenama tempatan berbanding dengan menggunakan hanya satu jenama ke peringkat antara bangsa.

Ketika Mars, sebuah syarikat U.S. yang memasarkan produk coklat dan makanan haiwan, mereka menggunakan strategi global iatu memasarkan produk mereka dengan satu jenama global. Di Britain, pasaran coklat terbesar di Eropah, M&M’s telah dijual menggunakan jenama Treets, dan untuk mengelak kekeliruan “knickers”, perkataan British bagi seluar dalam wanita, coklat Snickers dijual menggunakan jenama “Marathon”. Bagi memasarkan kedua-dua coklat tersebut secara global, Mars membuat pertukaran jenama kepada Snickers dan M&M’s. Susulan daripada itu juga, bahagian makanan haiwan Mars, iaitu Kal Kan juga telah ditukar kepada Pedigree bagi makanan anjing; Whiskas dan Sheba bagi makanan kucing. Walaubagaimanapun, ini tidak merangsang kepada keuntungan yang besar, di mana Whiskas telah mengalami penurunan syer pasaran sejak daripada pertukaran itu.

Strategi yang berbeza digunakan oleh Syarikat Nestle yang dikatakan mempunyai kedudukan global yang lebih stabil dengan jenama khas negara (country-specific brands) bagi lini keluaran mereka. Jenama Nestle itu sendiri dipromosikan secara global tetapi strategi pengembangan jenama global dilakukan secara serampang dua mata. Mereka menguasai pasaran menggunakan jenama tempatan di mana mungkin dan membentuk kekuatannya; di pasaran lain di mana mereka tidak dapat membentuk kekuatan jenama, mereka menggunakan nama jenama global. Syarikat Nestle disifatkan sebagai mengutamakan jenama tempatan, tetapi teknologi secara global. Walaubagaimanapun mereka masih mempunyai salah satu jenama global terbesar iaitu Nescafe, sebagai contoh.

Selain daripada Nestle, Unilever juga mengamalkan strategi yang sama iaitu menggabungkan jenama tempatan dan global. Di Poland, Unilever memperkenalkan bahan pencuci dengan  jenama Omo, tetapi mereka juga telah membeli jenama tempataniaitu Pollena 2000. Walaupun dengan pengenalan dua jenama yang bersaing hebat, Omo oleh Unilever dan Areil oleh Procter & Gamble, Pollena 2000 masih kekal menguasai pasaran. Penjelasan yang diberikan oleh pihak Unilever, pengguna di Eropah Timur tidak suka dan memandang rendah pada jenama baru, mereka inginkan jenama yang mampu dibeli serta mengekalkan nilai dan rasa tempatan. Pollena 2000 telah berjaya bukan kerana harganya yang murah tetapi kerana ia mengekalkan nilai-nilai tempatan.

Secara kesimpulannya, penggunaan jenama global dan jenama tempatan perlu dilaksanakan dan disesuaikan mengikut kebijaksanaan pemasar.






Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.  
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan




AKTIVITI 7A                   


Senaraikan jenama-jenama produk keluaran negara kita yang telah berjaya menembusi pasaran global.
















INPUT




   7.2  STANDARDIZATION DAN PENYESUAIAN PRODUK

Untuk memahami perkara ini, pemasar haruslah memahami bagaimana budaya mempengaruhi nilai dan kepentingan pasar.

Sesuatu produk bukan sahaja meliputi ciri-ciri fizikal, ia merangkumi kepuasan (utility) pengguna. Ia termasuklah rupabentuk, rasa, warna, bau dan testur, bagaimana ia berfungsi, pembungkusan, label, waranti, pekhidmatan pengeluar dan peruncit, keyakinan atau prestij jenama, reputasi pengeluar, negara asal keluaran dan lain-lain utility secara simbolik yang diterima daripada milikan  atau penggunaan sesuatu keluaran. Secara ringkasnya, pasaran akan mengaitkan lebih daripada bentuk fizikal produk dan fungsi asasnya.

Ciri-ciri fizikal pada umumnya diperlukan untuk membentuk fungsi asas sesuatu produk. Fungsi asas sesuatu kenderaan, contohnya, untuk menggerakkan penumpang dari titik A ke titik B. Keupayaan ini memerlukan enjin, transmisi dan ciri fizikal lain untuk memenuhi fungsi asas. Ciri-ciri fizikal atau fungsi asas kenderaan pada umumnya diperlukan dalam semua budaya selagi keinginan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat wujud.

Beberapa perubahan kepada ciri-ciri fizikal sesuatu produk diperlukan apabila bergerak dari satu budaya ke budaya yang lain. Walau bagaimanapun, sesebuah kenderaan mempunyai beberapa ciri psikologi di dalam memenuhi kepuasan pengguna. Dalam budaya tertentu, ciri –ciri kenderaan seperti warna, saiz, rekabentuk, nama jenama tidak memberi kesan yang besar ke atas fungsi asas, iaitu untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi ia menambah nilai kepuasan pengguna.

Maksud dan nilai yang ditambah kepada ciri-ciri psikologi sesuatu produk boleh berubah antara budaya dan akan dianggap samada negatif atau positif. Untuk memaksimumkan kepuasan pengguna dan membentuk ciri-ciri positif produk, penyesuaian kepada ciri-ciri bukan fizikal produk mungkin diperlukan. Coca-Cola walaupun sering dikatakan satu produk global, masih mendapati bahawa mereka terpaksa mengubah Diet Coke kepada Light Coke, apabila hendak memperkenalkannya di Jepun. Ini adalah kerana wanita Jepun tidak menyukai perkataan “diet” kerana ia dikaitkan dengan sakit atau ubat. Oleh itu mereka mengubah daripada mengurangkan berat badan kepada menekankannya kepada mengekalkan rupa bentuk badan.

Penyesuaian mungkin memerlukan beberapa perubahan kepada aspek-aspek psikologi sesuatu produk. Suatu kajian menunjukkan bahawa maksud produk menjurus ke arah sejauh mana mana budaya menentukan persepsi individu terhadap produk dan kepuasan yang ditawarkan. Penerimaan sesuatu produk oleh pengguna mungkin terjejas jika konsep produk bercanggah dengan norma, nilai dan sikap terhadap ciri-ciri fizikal dan mekanikal.

Apabila menganalisa produk bagi pasaran kedua, rangka penyesuaian yang diperlukan bergantung kepada perbezaan budaya dalam penggunaan produk dan persepsi antara pasaran asal produk tersebut dengan pasaran baru. Semakin besar perbezaan budaya yang wujud antara kedua-dua pasaran ini, semakin banyak penyesuaian yang perlu dilakukan.




Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.  
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan   




AKTIVITI 7B                   


Berikan contoh produk yang telah melakukan penyesuaian untuk pasaran di Malaysia.








INPUT




7.3  PENYESUAIAN YANG PERLU DIBUAT TERHADAP PRODUK MENGIKUT KEPERLUAN WAJIB (MANDATORY REQUIREMENTS) ATAU DISEBABKAN KEADAAN FIZIKAL BAGI PASARAN BARU

Sesuatu produk perlu diubah dari beberapa sudut untuk menepati keperluan fizikal atau wajib bagi pasaran baru; ia mungkin daripada perubahan yang melibatkan pembungkusan atau rekabentuk semula terhadap fizikal sesuatu produk. Sesetengah perubahan mungkin hanya melibatkan analisa yang ringkas seperti perubahan kepada pendawaian barangan elektrik di negeri yang mempunyai sistem voltej yang berbeza, mempermudahkan produk bagi negeri yang mempunyai teknologi rendah atau perubahan maklumat bercetak pada label.

Keperluan perundangan, ekonomi, teknologi dan iklim pasaran tempatan adalah penentu bagi penyesuaian produk. Saiz pembungkusan yang khas, ciri-ciri keselamatan dan kualiti piawaian adalah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan berubah-ubah di kalangan setiap negara. Bagi memudahkan pembelian di kalangan negara-negara berpendapatan rendah, bilangan unit bagi setiap kotak mungkin dikurangkan bagi setiap pembungkusan berbanding dengan kuantiti yang ditawarkan di negara berpendapatan tinggi.

Perubahan juga perlu dilakukan untuk menyesuaikannya dengan perubahan iklim sesebuah negara. Sebagai contoh, General Ford of Canada menghadapi pengalaman ketika memasarkan beribu-ribu kenderaan Chevrolet mereka ke negara Timur Tengah. Ini adalah kerana kenderaan mereka tidak sesuai dengan iklim negara tersebut yang sangat panas dan berdebu. Selepas itu mereka terpaksa mengubahsuai dengan penapis udara tambahan dan “clutch” yang berbeza untuk menghadapi masalah tersebut.

Semakin mundur sesebuah negara, semakin banyak penyesuaian yang perlu dilakukan. Satu kajian menunjukkan hanya 1 daripada 10 produk yang dipasarkan di negara membangun tidak perlu melakukan penyesuaian atau hanya sedikit penyesuaian. Daripada jumlah penyesuaian yang di lakukan, 25% adalah wajib atau mandatori; manakala pengubahsuaian lain adalah untuk memenuhi budaya yang berbeza-beza.

INPUT



7.4       HUBUNGKAIT ANTARA KITARAN HAYAT PRODUK DAN PENYESUAIAN PRODUK

Walaupun di kalangan pasaran yang mempunyai perbezaan budaya yang kecil, penyesuaian kecil adalah perlu sekiranya produk itu berada di peringkat yang berlainan di dalam kitaran hayat produk bagi setiap pasaran. Kitaran hayat produk dan campuran pemasaran adalah saling berkaitan; sesuatu produk di dalam peringkat kematangan dalam satu pasaran mungkin tidak diperlukan atau diketahui di dalam pasaran di mana produk tersebut di anggap sebagai baru dan berada dalam peringkat pengenalan. Sejarah pemasaran menunjukkan banyak produk yang berada dalam peringkat kematangan dalam satu pasaran dan kemudiannya diperkenalkan di pasaran yang lain telah menghadapi kegagalan. Sebagai contoh, apabila Sup Campbell memperkenalkan sup pekat mereka ke England, ia telah di tolak sehingga pasaran tersebut mengetahui bahawa sup pekat adalah sebaik sup pemberi tenaga.

Sesungguhnya pendekatan penting di dalam menganalisa produk untuk pasaran asing ialah untuk menentukan peringkat kitaran hayat keluaran terlebih dahulu. Plan pemasaran seterusnya mestilah merangkumi penyesuaian  yang dilakukan untuk disesuaikan dengan peringkat kitaran hayat keluaran di pasaran baru nanti.


Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.  
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan


AKTIVITI 7C


Senaraikan faktor-faktor yang perlu diambilkira untuk melakukan penyesuaian bagi sesuatu produk






INPUT


7.5      IMPLIKASI PEMASARAN HIJAU DAN PERKEMBANGAN PRODUK

Kesedaran untuk melindungi alam sekitar semakin  diberi perhatian oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia. Malahan abad 21 dikenali sebagai “abad kesedaran alam sekitar”.  Pengguna, ahli perniagaan dan pihak pengurusan awam seharusnya mempunyai tanggungjawab deria “hijau” dengan menghubungkait tabiat persekitaran ke dalam sikap kehidupan seharian individu.

Pemasaran hijau adalah terma yang digunakan untuk mengenalpasti kesan persekitaran terhadap aktiviti pemasaran.  Dua isu penting yang memberi kesan terhadap perkembangan produk adalah pengawalan bahan pembungkusan bagi bahan buangan pepejal dan permintaan pengguna terhadap produk yang mesra pengguna. Di bawah undang-undang negara German, seseorang pengeluar dibenarkan untuk mempamerkan logo, yang dikenali sebagai “Blue Angel” di atas setiap produk yang mematuhi kriteria sebagai mesra alam. Sebanyak lebih daripada 3200 produk dalam 58 kategori telah  diuji dan diberikan logo “Blue Angel”. Walaupun agak sukar untuk mengukur nilai komersil terhadap hala tuju “Blue Angel”, para pengeluar masih berusaha untuk mendapatkan label ini (eco-label) bagi produk mereka kerana permintaan yang tinggi di kalangan pengguna untuk mendapatkan produk yang mesra alam.

Di bawah arahan Suruhanjaya Eropah (EC), sesuatu produk dinilai berdasarkan kesan terhadap persekitaran bagi setiap peringkat dalam kitaran hayat mereka, daripada pengeluarannya hinggalah penghapusannya. Setiap syarikat digalakkan untuk terus memperbaharui teknologi persekitaran kerana eco-label hanya diberikan untuk jangkamasa yang terhad. Oleh kerana semakin banyak produk yang mesra alam memasuki pasaran, piawaian yang dikenakan adalah semakin ketat dan bagi produk yang tidak diperbaharui akan hilang hak eco-label mereka.

Pemasar yang melakukan pemasaran mereka secara global, haruslah tidak menganggap pemasaran hijau sebagai masalah negara Eropah; perhatian terhadap persekitaran adalah merangkumi seluruh dunia di mana pembentukan perundangan yang sama sudah pasti dilaksanakan di mana-mana negara suatu hari nanti. Ini adalah salah satu contoh bagi perlunya untuk penyesuaian produk bagi pemasaran global.



7.6     MEMBINCANGKAN PERKEMBANGAN PRODUK INDUSTRI DAN  

           PERKHIDMATAN PERNIAGAAN


Perbezaan antara barangan industri dan barangan pengguna dapat di lihat dari dua sudut yang utama iaitu : (1) ciri semulajadi dalam sifat keluaran (keluran perindustrian adalah barang dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses penciptaan barang dan perkhidmatan lain, sementara keluaran pengguna adalah dalam bentuk akhirnya dan digunakan oleh individu) dan (2) motif atau tujuan pengguna (pengguna industri bermotifkan keuntungan  sementara pengguna akhir  bermotifkan kepuasan diri). Perbezaan ini jelas ditunjukkan dalam pola pembelian, ciri permintaan dan teknik jualan. Terdapat empat perbezaan asas yang penting di antara pemasaran barang perindustrian  dan pemasaran barang pengguna yang memerlukan  kepelbagaian utama dalam pendekatan pemasaran, iaitu :

  • Perbezaan yang disebabkan oleh sifat pasaran atau pembeli
  • Perbezaan yang timbul daripada pengaturan organisasi atau pengendalian
  • Perbezaan yang timbul daripada ciri keluaran
  • Pelbagai perbezaan termasuklah keperluan untuk tenaga jualan yang berkemahiran tinggi serta kecepatan dan kebolehpercayaan serahan



7.7      CIRI-CIRI PERMINTAAN TERHADAP PRODUK INDUSTRI

Ciri asas pemasaran perindustrian ialah bahawa keluaran dibeli atas asas prestasinya. Walaupun demikian, dalam negara yang kebudayaan bakal pengguna tidak melengkapkan mereka dengan dasar permulaan kemahiran teknik, langkah yang luar biasa mesti diambil untuk memastikan terlaksananya tugas yang mudah seperti penyelenggaraan yang mencukupi. Jika tidak, syarikat mungkin mencemarkan nama baik keluarannya bukan kerana kesalahan keluaran tersebut tetapi kerana penggunaan yang tidak betul atau penyelenggaraan yang kurang baik.

Selain daripada itu, masalah yang dicipta oleh perbezaan persekitaran antara negara, terdapat dua arah aliran yang penting untuk dipertimbangkan dalam pemasaran barang perindustrian :

  • Permintaan yang bertumbuh dengan pesat
  • Persaingan yang bertambah dengan hebat dari negara seperti United Kingdom, Perancis, German dan Jepun yang sudah lama mengeluarkan barang perindustrian dengan negara membangun seperti Taiwan, Korea, Malaysia dan Singapura.

Untuk dapat terus bersaing dalam pasaran luar negeri masa kini, adalah perlu untuk menilai program pemasaran dengan mengambilkira arah aliran semasa. Firma pengilang barang perindustrian yang berjaya tidak boleh menjangka yang ia akan dicari untuk dibeli barangnya; sebaliknya, firma mesti bersaing secara efisien dengan banyak pesaing yang secara relatifnya baru untuk menjual kepada pelanggan yang semakin banyak tuntutannya. Tambahan lagi, persaingan yang terbatas terpaksa diatasi dalam beberapa kawasan.

Pertumbuhan bukan sahaja terjadi dalam jualan barang perindustrian yang ketara tetapi juga dalam jualan barang atau perkhidmatan yang tidak ketara. Pertumbuhan ekonomi yang pesat, persaingan yang aktif dan kekurangan sekumpulan juruteknik  dan pakar berkemahiran tinggi yang mudah didapati dalam banyak negara yang sedang membangun telah mewujudkan pasaran antarabangsa yang tumbuh dengan mantap untuk perkhidmatan yang terdiri daripada penyelidikan pasaran hinggalah  ke bantuan kejuruteraan.


7.8      CORAK ALIRAN PEMASARAN INDUSTRI

Keluaran perindustrian dibeli untuk kegunaan perniagaan dan oleh itu ia dibeli bukan sebagai entiti  itu sendiri tetapi sebagai sebahagian daripada proses keseluruhan , pembeli menilai perkhidmatan, kebolehpercayaan, kualiti, prestasi dan kos. Dalam pasaran asing, ciri ini dirumitkan lagi bagi pemasar  oleh perbezaan yang terdapat antara negara. Variasi kebudayaan dan persekitaran meletakkan penekanan yang berlainan terhadap perkhidmatan, kebolehpercayaan, kualiti, prestasi dan kos. Satu faktor seumpamanya yang merumitkan ialah darjah pembangunan ekonomi yang dicapai oleh setiap negara.

Mungkin faktor persekitaran yang paling penting yang mempengaruhi pasaran barang perindustrian ialah darjah pengindustrian di mana ia boleh digunakan sebagai ukuran kasar mengenai ciri pasaran untuk barang perindustrian. Tidak kira darjah yang telah tercapai, permintaan untuk barang perindustrian memang wujud, tetapi tingkat pembangunan yang berlainan biasanya menghasilkan perubahan dalam permintaan dan jenis atau kualiti barang perindustrian yang dicari.


Sesebuah negara biasanya boleh dikelaskan ke dalam lima tahap pembangunan iaitu :

  • Tahap praperindustrian  atau perdagangan dengan sedikit atau tiada langsung perkilangan dan ekonomi yang hampior keseluruhannya berasaskan eksploitasi bahan mentah dan keluaran pertanian.
  • Tahap pembangunan perkilangan utama berkenaan dengan pemprosesan separa bahan mentah dan sumber yang dalam tahap pertama telah dihantar dalam bentuknya yang mentah.
  • Tahap pertumbuhan kemudahan perkilangan untuk barang pengguna yang tidak tahan lama dan separa tahan lama iaitu industri berbentuk pengilang kecil tempatan yang mengeluarkan barang pengguna yang secara relatifnya mempunyai  tarikan besar-besaran.
  • Tahap perindustrian meluas di mana ia mencerminkan pengeluaran barang modal serta barang pengguna, termasuklah keluaran seperti kenderaan bermotor, peti sejuk dan jentera, walaubagaimanapun masih terdapat keperluan untuk mengimport barang perindustrian bagi peralatan yang lebih terkhusus dan peralatan modal berat yang belum lagi dikeluarkan dalam negara itu tetapi perlu untuk industri dalam negeri.
  • Tahap titik perindustrian penuh  yang  secara amnya menandakan pemimpin dunia dalam pengeluaran berbagai-bagai jenis barang dan ia biasanya bersaing di seluruh dunia untuk pasaran bagi kedua-dua barang pengguna dan barang perindustriannya.

Walaupun setiap tahap pembangunan perindustrian kelihatan jelas, kebanyakan negara sebenarnya berada dalam keadaan ekonomi dan perindustrian yang sentiasa berubah-ubah dan berusaha untuk mencapai pembangunan ekonomi yang lebih tinggi dan lebih pesat.



Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.  
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan




AKTIVITI 7D   


Nyatakan empat perbezaan asas yang penting di antara pemasaran barang perindustrian  dan pemasaran barang pengguna.











PENILAIAN KENDIRI




Anda telah menghampiri kejayaan.  Sila cuba semua soalan dalam penilaian kendiri ini  
dan semak jawapan anda pada maklum balas yang disediakan. Jika ada sebarang masalah yang timbul, sila berbincang dengan pensyarah anda.


Selamat mencuba semoga berjaya !!!!!



SOALAN 7-1


Berikan penerangan ringkas mengenai jenama global SERTA berikan contoh-contoh jenama global yang berjaya di pasaran.



SOALAN 7-2


Berikan perbezaan antara barangan industri dan barangan pengguna  dalam konteks pemasaran global.



SOALAN 7-3


Berikan contoh-contoh produk atau syarikat yang menekankan konsep mesra alam dalam strategi pembungkusan mereka.



SOALAN 7-4


Berikan LIMA (5) tahap pembangunan yang dilalui oleh sesebuah negara.



MAKLUM BALAS
AKTIVITI




Adakah anda telah mencuba dahulu ?  Jika “YA”, sila semak jawapan anda.


AKTIVITI 7A


Jenama-jenama produk keluaran negara kita yang telah berjaya menembusi pasaran global
  • Proton
  • MAS
  • MISC
  • Petronas
  • Maybank


AKTIVITI 7B
Contoh produk yang telah melakukan penyesuaian untuk pasaran di Malaysia :

  • Nestle  
  • Procter & Gamble
  • Unilever
  • Pizza Hut
  • KFC






AKTIVITI 7C

Faktor-faktor yang perlu diambilkira untuk melakukan penyesuaian bagi sesuatu produk :
  • Keperluan perundangan
  • ekonomi
  • teknologi
  • iklim pasaran tempatan
  • saiz pembungkusan
  • ciri-ciri keselamatan dan kualiti piawaian


AKTIVITI 7D

Empat perbezaan asas yang penting antara pemasaran barang perindustrian  dan pemasaran barang pengguna:

  • Perbezaan yang disebabkan oleh sifat pasaran atau pembeli
  • Perbezaan yang timbul daripada pengaturan organisasi atau pengendalian
  • Perbezaan yang timbul daripada ciri keluaran
  • Pelbagai perbezaan termasuklah keperluan untuk tenaga jualan yang berkemahiran tinggi serta kecepatan dan kebolehpercayaan serahan













MAKLUM BALAS
PENILAIAN KENDIRI



SOALAN 7-1

Pengertian jenama global adalah bermaksud penggunaan nama, terma, tanda, simbol, rekabentuk atau mana-mana gabungan tersebut bertujuan untuk mengenalpasti keluaran dan perkhidmatan pemasar dan membezakannya dengan pesaing mereka. Sesuatu jenama merangkumi dan berkaitan dengan pengiklanan, nama baik (good will), penilaian kualiti, pengalaman produk dan lain-lain ciri yang menghubungkaitkan pasaran dengan produk tersebut. Jenama-jenama seperti Kodak, Sony, Coca-Cola, Mc Donalds, Toyota dan Marlboro memang tidak dapat ditandingi.



SOALAN 7-2

Perbezaan antara barangan industri dan barangan pengguna di lihat dari dua sudut yang utama iaitu : (1) ciri semulajadi dalam sifat keluaran (keluran perindustrian adalah barang dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses penciptaan barang dan perkhidmatan lain, sementara keluaran pengguna adalah dalam bentuk akhirnya dan digunakan oleh individu) dan (2) motif atau tujuan pengguna (pengguna industri bermotifkan keuntungan  sementara pengguna akhir  bermotifkan kepuasan diri). Perbezaan ini jelas ditunjukkan dalam pola pembelian, ciri permintaan dan teknik jualan.


SOALAN 7-3


Contoh-contoh produk yang menekankan konsep mesra alam dalam strategi pembungkusan mereka :

  • Spritzer
  • Body Shop
  • Nestle
  • Procter & Gamble
  • Mc Donald


SOALAN 7-4



Sesebuah negara biasanya boleh dikelaskan ke dalam lima tahap pembangunan iaitu :

  • Tahap praperindustrian  atau perdagangan dengan sedikit atau tiada langsung perkilangan dan ekonomi yang hampir keseluruhannya berasaskan eksploitasi bahan mentah dan keluaran pertanian.
  • Tahap pembangunan perkilangan utama berkenaan dengan pemprosesan separa bahan mentah dan sumber yang dalam tahap pertama telah dihantar dalam bentuknya yang mentah.
  • Tahap pertumbuhan kemudahan perkilangan untuk barang pengguna yang tidak tahan lama dan separa tahan lama iaitu industri berbentuk pengilang kecil tempatan yang mengeluarkan barang pengguna yang secara relatifnya mempunyai  tarikan besar-besaran.
  • Tahap perindustrian meluas di mana ia mencerminkan pengeluaran barang modal serta barang pengguna, termasuklah keluaran seperti kenderaan bermotor, peti sejuk dan jentera, walaubagaimanapun masih terdapat keperluan untuk mengimport barang perindustrian bagi peralatan yang lebih terkhusus dan peralatan modal berat yang belum lagi dikeluarkan dalam negara itu tetapi perlu untuk industri dalam negeri.
  • Tahap titik perindustrian penuh  yang  secara amnya menandakan pemimpin dunia dalam pengeluaran berbagai-bagai jenis barang dan ia biasanya bersaing di seluruh dunia untuk pasaran bagi kedua-dua barang pengguna dan barang perindustriannya

No comments:

Post a Comment